Wednesday, June 1, 2011

KENANGAN AL-MARHUM USTAZ FADZIL NOOR



Hari Hari Terakhir Ustaz Fadzil Noor

Posted on Thursday, August 05 @ 18:56:52 PDT by paktam
Artikel

Esoknya ustaz masih belum sedarkan diri. Orang semakin ramai datang ke ICU untuk menziarahi ustaz, tetapi hampa apabila peraturan tidak membenarkan mereka masuk. Ada yang datang dari jauh – Kelantan, Kedah, Johor . Ada yang datang dengan bas robongan.

Antara yang paling awal bunga kepada Ustaz ialah , DYMM Sultan kedah. Ketika itu saya sedang menunggu di luar wad ICU. Saya menerima bagi pihak keluarga dan parti , dari penghantar bunga. Pada jambangan bunga tersebvut, terselit sekeping kad yang tertera kata – kata : BETA DAN SULTANAH MENDOAKAN, AGAR YB DATUK SEGERA SEMBUH,”.


Ustaz terus tidak sedarkan diri beberapa hari selepas itu. Ada sedikit tanda – tanda positif seperti beliau mula mengerakkan jari dan membuka mata seketika apabila dipanggil. Ada tanda- tanda positif ,tetapi terlalu perlahan

Semakin hari dan setiap masa tanpa mengira masa waktu lawatan , semakin ramai yang datang untuk menziarah dan memberi sokongan moral.Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri,Menteri – Menteri dan Ahli Parlimen turut menziarah. Jambangan bunga pun semakin banyak diterima dari pelbagai pihak termasuk kedutaan asing.

Saya,Dr Hatta, Dr Wahab dan beberapa rakan menunggu dan membantu mengendalikan pelawat dan keluarga hampir setiap hari , sehingga jam 2 atau 3 pagi. Pelbagai pihak termasuk media massa cuba mendapatkan maklumat terkini. Pelbagai rumours disebarkan tentang ustaz .kami yang sentiasa berada di HUKM enggan mengulas, kerana untuk mengetahui keadaan Ustaz selayaknya diperolihi daripada HUKM.

Kami memantau keadaan Ustaz dari semasa ke semasa,selagi beliau belum sedar,keadaannya amat membimbangkan.Tetapi tidaklah wajar kami melahirkan kebimbangan ini kepada sesiapa yang datang .

Rakyat terus datang tanpa henti. Apalah yang boleh dilakukan melainkan berdoa dan menunaikan solat hajat agar Ustaz segera sembuh. Itulah permintaan pemimpin – pemimpin PAS, supaya semua markaz PAS mengadakan majil seumpama itu.

Menjelang 7 petang, 22hb Jun 2002, saya menerima mesej daripada Dr Hatta supaya ke HUKM segera, umtuk menyambut Ustaz hadi. Setiba di HUKM, Ustaz hadi dilaporkan baru keluar untuk menunaikan solat dan dijangka akan kembali kemudia. Para doctor memanggil anak – anak Ustaz untuk diberi taklimat. Ustaz Nasaruddin mat Isa(Setiausaha Agung) sudah tiba di sana dan menghubungi semua AJK Harian PAS untuk berhimpun.

Ustaz dalam keadaan sangat kritikal.

Kami berhimpun . Ustaz hadi tiba dan membaca ayat Quran dan doa di sisi ustaz. Yang luar diminta menunaikan solat bhajat dan membaca surah Yassin.
Semakin ramai yang datang , kebimbangan berteusan sehingga 1.30 pagi, apabila di laporkan keadaan Ustaz ada sedikit perubahan,tetapi masih stabil.
Kami beransur pulang menjelang jam 3 pagi. Namun kebimbangan dijangkakan berterusan jua. Mnejlang subuh ,saya menerima panggilan telefon mengatakan keadaan Ustaz kembali kritikal. Malah sangat kritikal.

Tiada kata boleh digambarkan apabila pemimpin dan penyokong PAS yang berada di HUKM pagi itu mula berlinang air mata. Sedih dan sayu tidak tergambar.

10.30 pagi, pemimpin PAS yang berada di sisi katil Ustaz keluar dari wad ICU berkata dengan penuh kesedihan; “Kita Kehilangannya,”.

Kesedihan menyelebungi seluruh keluarga , ahli – ahli PAS dan rakyat yang menyokong perjuangan Ustaz Fadzil . Berita pemergian Ustaz ke rahmatullah begitu cepat etrsebar, dan dilaporkan media sejurus selepas itu. Berduyun – duyun manusia berhimpun di perkarangan HUKM.

Memperingati Dato Fadzil Noor-Sosok peribadi Ulama’ Profesional

Posted on Wednesday, June 01 @ 00:43:08 PDT by paktam
Penulis Tamu

Oleh Dr.Syed azman Syed ahmad
syedazmans@yahoo.co.uk

Membaca pelbagai penulisan serta ‘analisa politik dalaman Pas’ yang begitu rancak di siarkan di media perdana sejak beberapa hari lalu amat menarik untuk di ulas. Ini ditambah pula dengan kerancakan pemilihan pucuk pimpinan parti yang bakal menerajui kepimpinan Pas menjelang muktamar Pas yang ke-57. Kepimpinan ini jugalah yang bakal mewarnai corak dan pendekatan Pas bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang akan datang.


Gambaran yang cuba di paparkan adalah pertarungan sebenar aliran-aliran utama di dalam Pas, khususnya golongan yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan golongan yang di labelkan sebagai ‘kumpulan profesional’ dalam kepimpinan Pas. Isu ini kian hangat diperkatakan apabila adanya beberapa pertandingan di peringkat kawasan serta pencalonan untuk menerajui jawatan tertinggi didalam Pas.

Dua persoalan utama yang sering di perdebatkan serta dilemparkan kepada umum adalah; pertamanya, apakah Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya setelah menjalinkan kerjasama di dalam Pakatan Rakyat bersama Pkr dan Dap? Dan keduanya, apakah benar-benar wujud pertembungan golongan ‘kumpulan ulama’ dan ‘kumpulan profesional’ dalam kepimpinan Pas terutamanya dalam menangani persoalan penglibatan serta kepimpinan dalam Pakatan Rakyat?

Namun bagi saya, jawapannya terletak di sosok peribadi bekas Presiden Pas yang agong, Al-marhum Datuk Fadzil Nor. Beliau telah berjaya meletakkan Pas di persada politik utama negara sehingga sekarang. Corak kepimpinan serta pendekatan yang di ambil oleh Al-marhum adalah paling dekat dengan denyutan perjuangan yang saya sendiri lalui. Kehebatan kepimpinan beliau sentiasa segar dalam minda setiap pimpinan dan ahli Pas kerana ketokohan yang ada padanya.

Mungkin saya agak keterlaluan, tetapi saya ingin merakamkan bahawa Al-Marhum adalah seorang peribadi pemimpin ulama’ yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Ini adalah intisari kekuatan fikrah Al-Marhum yang sekaligus mempamerkan penguasaan kepemimpinannya.

Beliau juga begitu profesional menyusun serta menyorot setiap tindak rencana politiknya dalam menangani pergolakan politik dan persimpangan getir dalam kesinambungan perjuangan parti.

Sukar untuk saya rumuskan. Yang nyata Al-marhum adalah contoh ulama’-profesional yang tidak pernah bersifat ‘jumud’ menilai serta menafsir setiap isu yang di hadapi oleh Pas. Malah di bawah kepimpinan beliau ‘pintu ijtihad’ di buka luas dengan mengambil pendekatan politik yang ternyata membuahkan hasil bagi Pas. Al-marhum juga tidak pernah kedekut untuk berkongsi pengalaman dengan ramai kalangan golongan profesional berpendidikan Barat dan sentiasa berjiwa besar menggabungkan kekuatan kepimpinan Pas dari pelbagai latar belakang pendidikan serta displin ilmu sesuai dengan Pas sebagai parti dan gerakan Islam terbesar di Malaysia.

Bagi saya al-Marhum adalah sosok peribadi ulama’-profesional yang telah berjaya meletakkan Pas di persada politik negara. Ya, Al-marhum berkawan dan kenal rapat dengan siapa sahaja, dari kepimpinan tertinggi Pas kepada setiap ahli bawahan Pas tanpa sebarang tembok batasan. Saya yakin tidak ada ahli Pas bahkan rakyat awam yang boleh 'mentajrih'nya atau mencari keburukannya cara Al-Marhum melayani atau bermuamalat dengan mereka. Lazimnya, akan ada saja ingatan manis untuk dikongsi bersama tentang keistimewaan peribadi Al-marhum. Beliau adalah seorang 'negarawan' yang sentiasa mendepani isu kepentingan negara dan masyarakat dengan penuh prihatin.

Ya, inilah juga ‘permata berharga kepimpinan ulama’ yang kini ada pada kedua-dua pimpinan tertinggi Pas. Murshid am Pas, Tok guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terkenal sebagai ulamak yang memimpin dan bukan sahaja di geruni tapi di segani oleh kawan dan lawan kerana ketegasan serta sifat zuhud dan rendah diri yang sentiasa ada pada beliau. Begitu juga dengan Presiden Pas, Tuan guru Dato’ Sri Haji Abdul Hadi Awang yang juga di segani oleh kawan dan lawan kerana kehebatan ilmu serta peribadi yang ada pada beliau bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Yang pasti di bawah kemantapan kepimpinan kedua-dua ulama’ besar ini bersama gabungan pimpinan ulama’ dan profesional dari pelbagai displin ilmu dan pengalaman, Pas kini berada di persada politik nasional. Ia terus mendapat kepercayaan serta sokongan dan dokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari kalangan masyarakat Cina dan India.

Ya, Muktamar pada kali ini adalah tempat bagi setiap ahli dan pendokong Pas untuk lebih memahami realiti keperluan dan suasana yang dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama yang wujud di negara ini. Isu-isu kritikal seperti ’tahaluf’ dalam berpolitik, penyelesaian kemelut kepimpinan dan ekonomi negara serta sistem pendidikan yang lebih bersifat ’holistic’ perlu di agendakan dengan lebih rapi dan teliti.

Saya amat yakin dengan masadepan politik Pas. Ia kini berada di tahap ’kebijaksanaan’ pemimpin membuat keputusan cabaran politik baru samada ’memimpin’ atau ’dipimpin’.

Yang nyata, Pas bukan sebuah parti politik murahan yang boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak. Pas mempunyai organisasinya yang tersendiri dan setiap kepimpinan perlu patuh kepada displin dan adab-adab parti. Tidak timbul soal ‘kumpulan ulama’ dan ‘kumpulan profesianal’. Jangan ada lagi keraguan ‘ulamak di profesionalkan dan profesional di ulamakkan’ di dalam saf kepimpinan Pas. Inilah rahsia kekuatan Pas selama ini...Selamat bermuktamar.


Allahyarham Fadzil Noor dan keterbukaan politik Islam

Posted on Wednesday, June 01 @ 01:59:54 PDT by paktam
Pendapat

Oleh Liew Chin Tong

Dekad rerfomasi menampilkan ramai wira; selain protagonisnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak kurang penting peranannya lebih sedekad yang lalu adalah Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden PAS.

Pada 2 September 1998, negara terkejut dan keliru. Menyusuri tahun-tahun 1990-an perkara bukan-bukan seperti seorang menteri besar membawa wang tunai sebegitu banyak ke Australia manakala seorang menteri dituduh mencabul perempuan di bawah umur, tentunya ada kalangan rakyat yang percaya pemimpin besar seperti Anwar juga terjebak dengan amalan buruk sedemikian.



Tidak mustahil ada beberapa pemimpin PAS pada masa itu juga berfikiran yang sama.

Dalam keadaan negara terkejut dan keliru melihat seorang bakal perdana menteri dihina sebegitu rupa oleh pucuk pimpinan negara, ramai pula yang bersimpati dengan Anwar termasuk Fadzil yang terkenal dengan gelaran Ustaz Fadzil.

Fadzil dan Anwar mempunyai tali persahabatan panjang sejak hari-hari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekitar tahun 1970-an sehingga nama anak perempuan sulung Anwar, iaitu Nurul Izzah, diberikan oleh pemimpin PAS itu.

Namun hubungan sedemikian tidak dikongsi oleh banyak pihak dalam PAS. Mereka masih tidak puas hati dengan penglibatan Anwar dalam UMNO sejak awal 1980-an. Mereka melihat tidak ada keperluan untuk tampil mempertahankan Anwar.

Tidak dapat dinafikan, selama tempoh 16 tahun Anwar berada dalam kerajaan Barisan Nasional, beliau menjadi musuh politik PAS. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil Anwar pada 1982 sebagai jawapan beliau ke atas agenda kebangkitan Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada hari sejarah hitam Anwar dipecat dari semua jawatan dalam kerajaan atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa, liwat dan kaki perempuan, Fadzil menjadi satu-satunya pemimpin PAS yang berani mengambil tindakan yang betul.

Beliau menziarahi Anwar, pada masa itu masih di kediaman rasmi kerajaan, untuk memberi sokongan moral. Fadzil tidak memaklumkan rakan-rakan PAS mengenai pertemuannya itu. Beliau menutup telefon bimbitnya dan tiada siapa yang boleh menjejakinya pada malam itu. Para pemimpin PAS hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar keesokan harinya. Beberapa hari selepas itu, menurut Subky Latif dalam catatannya, semasa mesyuarat jawatankuasa pusat parti, Fadzil disoal “seolah-olah berdepan dengan tribunal.”

Fadzil mengambil risiko politik dan peribadi yang besar dengan membawa dirinya dan PAS untuk bersama dengan Anwar. Malah, ia tidak trhenti di situ sahaja. Fadzil bertindak menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) – badan yang menjadi jambatan di antara parti-parti politik dan NGO; dan satu daripada dua perintis kepada Barisan Alternatif bersama Gagasan Demokrasi Rakyat – tanpa kelulusan jawatankuasa pusat PAS.

Kedua-dua gagasan itu ditubuhkan pada 27 September 1998, seminggu selepas Anwar ditahan. Walau pun Anwar adalah simbol reformasi, Fadzil adalah tokoh yang melaksanakan idealisme reformasi itu dengan menyediakan pentas untuk rakyat menyuarakan sokongan.

Kesannya, walau pun dibantah oleh sebahagian besar pemimpin PAS, mereka gagal menyekat kesan pengaruh Anwar terhadap parti itu. Usaha Fadzil ternyata melangkaui fahaman dan pendirian kebanyakan pemimpin PAS ketika itu. Tindakan berani Fadzil ternyata berjaya dan berbaloi.

Rakyat khususnya orang Melayu marah dengan tindakan zalim Mahathir terhadap Anwar. Ada yang keluar UMNO untuk mencari platform politik baru. Anak-anak muda Melayu yang belum pernah berparti pula turut melihat PAS sebagai alternatif.

PAS menggandakan keahliannya pada akhir 1998. Antara tahun kelahirannya pada 1951 hingga akhir 1980-an, PAS yang mempunyai 300,000 ahli, telah meningkat jumlah kepada 450,000 sebelum September Oktober 1998. Pada 1999, PAS mempunyai 800,000 ahli. Kini parti itu mempunyai dikatakan 1 juta ahli.

Lidah rasmi parti, Harakah, meningkatkan edaran daripada zaman pra-reformasi sebanyak 72,000 naskhah sewaktu pilihan raya kecil Arau pada Julai 1998 kepada 380,000 naskhah pada tahun 1999, menyumbang pendapatan besar kepada tabung parti.

Perubahan-perubahan ini akhirnya menyumbang kepada prestasi luar jangkaan parti pada pilihan raya umum 1999. PAS menawan 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi negeri.

Fadzil mungkin bukan pemidato yang paling karismatik dalam ceramah-ceramahnya. Namun beliau adalah seorang tokoh strategi di samping pengasas pakatan yang memainkan peranan besar dalam penubuhan Barisan Alternatif.

Selepas pilihan raya 1999, Fadzil mengingatkan PAS bahawa keputusan teruja itu bukan bukti sokongan positif terhadap pendirian PAS tetapi lebih kepada undi negatif kepada UMNO.

Ketika itu juga bangkit persoalan Negara Islam. Walau pun atas nama yang sama, soal prinsip dan ciri-cirinya berbeza di antara Fadzil yang lebih bersikap inklusif dan beberapa pemimpin lain dalam parti yang lebih tertutup dalam kefahaman mereka terhadap tafsiran Negara Islam.

Malangnya, sebelum sempat isu Negara Islam diselesaikan dengan baik, Fadzil telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. beliau meninggal dunia pada usia 65 tahun pada Jun 2002.

Mungkin apa yang akan berlaku jika hayatnya masih ada, isu rumit itu akan dapat dihuraikan dengan cara yang lebih teratur dan diterima ramai atas kepakaran strategi dan kesabaran Fadzil. Ia mungkin lebih telus dan kurang mengelirukan.

PAS tidak mendapat sambutan sehebat 1999 apabila bertanding dalam PRU 2004. Ia hilang banyak kerusi termasuk negeri Terengganu yang dirampas semula oleh BN. Kerusi Parlimen PAS pada masa itu tinggal 7 manakala DUN 36.

Perginya Fadzil merupakan satu kehilangan besar dalam politik negara. Di mana masyarakat masih diikat dengan politik kaum dan agama – walau pun sudah ada tanda-tanda kematangan demokrasi di kalangan rakyat masa kini – Fadzil telah sedikit-sebanyak mendahului zamannya. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger